Saturday, November 26, 2011

Salam Ma'al Hijrah 1433

Assalamualaikum w.b.t..

Bersempena dengan kedatangan tahun baru Hijrah 1433, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran yang terkandung di dalam peristiwa Hijrah yang telah berlaku kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda. Hasil dari pengorbanan baginda dan para sahabat maka, pada hari ini kita dapat mengecapi berbagai nikmat yang tidak dapat dirasai dan diperolehi oleh umat-umat yang lain. Antara lain nikmat yang paling besar yang tidak dapat dihitung oleh jari-jemari kita ialah nikmat Iman dan Islam. Pada hari ini kita diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t dengan agama Islam yang kita anuti sebagaimana kata Saidina Umar al-Khattab r.a :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله

Kita adalah satu kaum yang diberi kemuliaan dan kehebatan oleh Allah dengan Islam, maka jika sekiranya kita mencari kemuliaan dan kehebatan selain dari Islam nescaya kita akan mendapat kehinaan dan kemurkaan daripada Allah.

Kehinaan dan kemurkaan di sini ialah sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Kita akan ditimpakan oleh Allah s.w.t dengan kehidupan yang tidak sempurna jika kita mengguna pakai acuan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Justeru itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan melihat kembali sejauh mana kita berpegang dengan ajaran Islam yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Adakah kita telah mengikut segala apa yang telah diwahyukan oleh Allah kepada RasulNya s.a.w ataupun kita telah melanggarinya. Jangan kita menjadi manusia yang diperdaya oleh syaitan laknatullah yang sentiasa ingin menyesatkan umat manusia dengan mengikut telunjuknya yang sesat lagi menyesatkan. Firman Allah s.w.t :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya. Dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

(Surah al-Baqarah : 208)

Dengan kita mengikut ajaran Islam yang sebenar sahajalah yang akan membawa kita bahagia di dunia dan bergembira di hari akhirat kelak.

Wallahu a’lam.