Monday, July 19, 2010

USRAH TUNJANG TARBIYAH

OBJEKTIF

1) Memberi kefahaman terhadap ahli usrah tentang pengertian dan konsep usrah yang sebenar.

2) Memberi kefahaman terhadap ahli usrah berkaitan keperluan mengikuti usrah dan matlamatnya.

3) Membuatkan ahli usrah memahami dan menghayati rukun-rukun usrah dan menyedari bahawa ia adalah antara keistimewaaan yang didapati daripada pembabitan diri dalam usrah.

KANDUNGAN

1) Pengertian Usrah

2) Matlamat Usrah

3) Sejarah Usrah

4) Rukun-rukun Usrah : Ta’aruf, Tafahum, Takaful

5) Adab-adab Usrah

PENGERTIAN USRAH

Usrah dari segi bahasa ialah keluarga. Adapun dari segi istilah, ianya mempunyai beberapa pengertian dan maksud yang diantaranya ialah bererti satu kumpulan individu muslim ( Afradul Muslim ) yang beriman kepada AlLah s.w.t saling tolong menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam. Usrah juga membentuk satu ikatan perpaduan yang dibina atas dasar Aqidah Islamiyyah dan terjalin dengan satu ikatan persaudaraan Islam ( Ukhuwah Islamiyyah ). Usrah juga merupakan medan tarbiyah dalam usaha membentuk generasi yang sanggup hidup dan mati memperjuangkan agam Islam.

MATLAMAT USRAH

1) Meningkatkan dan memantapkan kefahaman ahli usrah tentang ajaran Islam yang Syumul.

2) Mengukuhkan semangat Ukhuwah Islamiyyah yang telah lama atau baru terjalin serta memupuk semangat bertindak secara berjemaah ( berkumpulan ).

3) Menambahkan penghayatan Islam dan melahirkan rasa tanggungjawab terhadap Islam.

4) Membentuk satu generasi yang benar-benar memahami Islam, beramal dengan ajaran Islam dan bersedia untuk memperjuangkan agama AlLah s.w.t.

SEJARAH USRAH

Sejarah usrah bermula pada zaman Rasulullah s.a.w apabila pemeluk Islam meningkat kepada 50 lelaki dan wanita. Rasulullah s.a.w telah memilih sebuah rumah yang terpencil iaitu rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai tempat untuk menyampaikan dakwah dan ajaran Islam serta memberi tunjuk ajar dan nasihat pada ketika itu. Kebanyakan mereka adalah dari golongan fakir miskin dan hamba yang tiada tempat dalam masyarakat Quraisy.

RUKUN-RUKUN USRAH

Rukun usrah terdiri daripada 3 perkara yang menjadi tulang belakang asas kekuatan usrah itu sendiri yang mana para ahli usrah haruslah mengambil cakna dan perhatian yang baik untuk menjayakannya agar usrah tersebut tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak membawa sebarang erti. Tiga rukun usrah tersebut ialah :

1) Al-Ta’aruf ( Berkenalan )

2) Al-Tafahum ( Memahami )

3) Al-Takaful ( Bantu-membantu/perseimbangan )

AL-TA’ARUF ( Berkenalan )

Berkenalan antara satu sama lain merupakan rukun pertama usrah dan ianya juga merupakan tuntutan agama bertepatan dengan firman AlLah s.w.t di bawah. Maka setiap ahli hendaklah mengenali satu sama lain serta berkasih sayang dalam naungan ruh AlLah s.w.t. mereka perlu memahami pengertian ukhuwah yang sebenar sesame saudara. Ahli juga digalakkan berusaha bersungguh-sungguh supaya tiada sebarang perkara yang boleh menimbulkan perselisihan faham atau sebagainya yang akan mencetuskan kekeruhan dan ketegangan hubungan yang telah sedia terjalin. Ini juga boleh dilakukan dengan menjunjung perintah AlLah s.w.t dan juga sunnah Nabi s.a.w, bahkan kedua-duanya wajib diutamakan dari segala perkara yang lain dalam segala hal yang berkaitan dengan kemaslahatan agama. Firman-firman AlLah s.w.t :

{يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ}(الحجرات/13)

Bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Firman AlLah s.w.t :

{إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ}(الحجرات/10)

Bermaksud : Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Firman AlLah s.w.t :

{وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنْ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ}(آل عمران/103)

Bermaksud : Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

Sabda Nabi s.a.w :

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه – أو قال : لجاره – ما يحب لنفسه ( رواه مسلم )

Bermaksud : Tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya – atau jirannya – seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.

Sabda Nabi s.a.w :

عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "المؤمن للمؤمن كالبنيان يَشُدُّ بعضُه بعضاً – وشبك بين أصابعه" ( متفق عليه )

Bermaksud : Seorang mukmin itu bagi mukmin yang lain seperti bangunan saling memperkukuh antara satu dengan yang lain.

Al-Tafahum ( Persefahaman )

Rukun kedua usrah ialah Tafahum atau persefahaman. Di mana persefahaman ini diantara perkara yang penting di dalam sesuatu gerakan atau kumpulan yang menginginkan sesuatu perkara atau matlamat yang ingin dicapai dapat dilakukan dengan baik dan bersama-sama. Ianya juga supaya dapat merialisasikan system Amal Jamaie dan Amal Ijtimaie yang diperlukan dalam sesebuah gerakan ataupun jemaah ( kumpulan ). Disamping itu ianya juga dapat merapatkan lagi Ukhuwah Islamiyah sesama ahli usrah supaya usrah tersebut dapat berjalan dengan lebih baik dan tersusun.

Al-Takaful ( Perseimbangan / Bantu-membantu )

Rukun yang ketiga ini merupakan satu kesinambungan kepada kedua-dua rukun yang sebelum ini, di mana ianya merupakan proses yang terakhir bagi sesebuah usrah tersebut untuk menentukan samada ianya berjaya ataupun tidak. Di mana bantu-membantu ini adalah satu suruhan dan juga tuntutan dari AlLah s.w.t sepertimana firmanNya di bawah. Di damping itu, ianya bertujuan bagi meningkatkan lagi ketaqwaan serta keimanan kita kepada AlLah s.w.t.

Firman AlLah s.w.t :

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ}(المائدة/2)

Bermaksud : Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

PENGISIAN USRAH

1) Membentangkan permasalahan yang timbul

2) Bermuzakarah

3) Kajian buku

4) Program tambahan

· Mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah atau sebagainya

· Mengadakan iftar secara beramai-ramai

· Berqiamullail dan sebagainya

ADAB-ADAB USRAH

1) Mengikhlaskan niat semata-mata kerana AlLah s.w.t. firmanNya :

{قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}(الأنعام/162)0

Bermaksud : Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

2) Datang ke tempat usrah pada waktu yang ditetapkan.

3) Meminta izin untuk masuk dan keluar usrah serta memberi salam sebelum masuk usrah.

4) Datang ke majlis usrah dalam keadaan berwudu’.

5) Datang ke majlis usrah dengan persiapan dan membawa keperluan yang diperlukan seperti Al-Quran, teks usrah, buku catitan dan sebagainya.

6) Hadir usrah dengan hasrat untuk mengukuhkan Ukhuwah Islamiyah dan berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman Islam.

7) Mendahului usrah dengan Al-Fatihah, pujian dan syukur kehadrat AlLah s.w.t serta selawat ke atas Nabi s.a.w. Menutup majlis dengan Surah Al-Asr dan Tasbih Kafarah.

8) Jangan mengangkat suara yang tinggi melebihi keperluan. Tidak terlalu ketawa dan bergurau.

9) Sentiasa berusaha untuk merapatkan Ukhuwah Islamiyah di kalangan ahli usrah.

10) Berada dalam keadaan sopan santun dan berbincang dengan baik dalam segala hal yang dibangkitkan.

11) Bersalaman dan bermaafan selepas selesai usrah.

Wallahua'lam.