Wednesday, September 7, 2011

Moga-moga kamu bertaqwa..

Bismillahir Rahmanir Rahim..

Alhamdulillah, puji dan syukur dengan rahmat dan kasihan belas dari yang Maha Esa kita masih lagi diberikan kesempatan dan peluang untuk menikmati kehidupan yang fana ini. Baru-baru ini umat Islam seluruhnya telah meraikan hari Raya Enam dengan bermacam-macam cara dan gaya yang sememangnya tidak ada dalam nas dan hadis. Akan tetapi ianya masih lagi diamalkan oleh sesetengah masyarakat disebabkan ianya telah diamalkan oleh orang-orang yang terdahulu dari mereka turun-temurun. Persoalannya, mengapa perkara sebegini masih lagi berlaku?.. Adakah kerna tidak mempunyai ilmu dan sebagainya?.. Tepuk dada tanya Iman. Namun, kita bukan hendak berbicara soal itu pada kali ini. Akan tetapi kita ingin menanyakan di sini adakah sebulan di bulan Ramadhan kita telah benar-benar berjaya menjadi seorang muslim yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t.. Atau kita hanya menjadi hamba kepada Ramadhan sebagaimana yang Nabi s.a.w telah sebut :

كــم مــن صائم ليس لــه مــن صيامــه الا الجـــوع والعــطش
"Berapa ramai yang berpuasa tidak ada baginya dari puasa yang dilakukannya melainkan lapar dan dahaga"

Jelaslah di sini Nabi s.a.w telah memberi amaran dan peringatan kepada kita bahawa berapa ramai orang Islam yang berpuasa akan tetapi puasa tersebut seperti habuk-habuk yang berterbangan di udara dan yang mereka dapat hanyalah lapar dan dahaga semata. Ketaqwaan yang menjadi tujuan utama kepada perlaksanaan ibadah puasa itu sendiri entah kemana namun, nikmat kekenyangan dan keseronokan berpuasa mengikut trend yang mereka kecapi. Taqwa yang mana dinyatakan oleh Abu Hurairah di dalam riwayatnya telah menceritakan tatkala seorang pemuda telah bertanya kepada beliau :

Lalu pemuda itu berkata : Apa itu Taqwa? Lantas Abu Hurairah bertanya kembali kepada si pemuda : Adakah kamu pernah berjalan di tempat yang berduri? Berkata pemuda tersebut : Ya. Kemudian Abu Hurairah bertanya lagi : Bagaimanakah kamu berjalan mengharunginya? Lalu pemuda itu berkata : Jika aku melihat duri aku akan mengelak daripadanya atau aku akan langkah atau aku akan berundur. Lalu Abu Hurairah berkata : Yang demikian itulah taqwa.

Yang dimaksudkan dengan jawapan pemuda tersebut dari pertanyaan yang dilemparkan oleh Abu Hurairah ialah berhati-berhati. Duri itu ialah ibarat perkara-perkara yang dimurka oleh Allah s.w.t dan hati-hati itu pula ialah Taqwa. Maka, jika seseorang itu ingin mencari ketaqwaan yang sebenar hendaklah dia berhati-hati dalam melakukan apa yang telah dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya dan meninggalkan segala larangannya.

Saidina Ali r.a dalam mentafsirkan makna Taqwa beliau ada menyatakan :

الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل
Takut kepada yang Maha Agung, beramal dengan apa yang diturunkan, mencukupi dengan yang sedikit, dan bersedia untuk hari akhirat.

Puasa dalam erti kata lain merupakan tarbiyah langsung daripada Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya yang benar-benar beriman dan mengharapkan keredhaan daripadaNya. Justeru itu tidak hairanlah ada yang masih melakukan perkara-perkara yang dimurka oleh Allah s.w.t walaupun telah keluar daripada tarbiyah tersebut. Kerna tarbiyah ini hanyalah kepada yang benar-benar beriman sahaja. Yang benar-benar mengharapkan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah s.w.t yang disebut dalam Surah Al-baqarah ayat-21 :

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
...moga-moga kamu tergolong dikalangan orang yang bertaqwa

Adapun mereka yang tidak benar-benar beriman dengan keimanan yang sebenar maka, akan terlihatlah oleh mata kasar kita akan orang-orang yang hanya menjadi hamba kepada puasa semata-mata bukannya hamba kepada Allah s.w.t. Justeru itu tidak hairanlah jika ada yang berpuasa akan tetapi aurat masih ditayang, sembahyang masih entah kemana, maksiat terus-menerus berleluasa terang-terangan tanpa kawalan, dan lain-lain lagi yang tersembunyi mahupun yang terlihat. Dengan itu marilah sama-sama kita menghayati hadith yang telah dinyatakan di atas. Adakah kita dikalangan orang-orang yang hanya mendapat habuan dunia semata-mata akibat berlapar dan berhausan? Ataupun kita mendapat sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w :

للصــائم فرحتان يفرحهما إذا أفطر فرح وإذا لقي ربه فرح بصومه
...bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan : Apabila dia berbuka,dia bergembira. Dan apabila dia bertemu dengan tuhannya, dia gembira dengan puasanya.
HR : Bukhari

Maka, adakah kita telah dapat mencapai nilai taqwa yang sebenar-benarnya sepertimana yang telah dinyatakan?

Wallahu a'lam..