Friday, July 17, 2009

Isra' Mikraj : Ada Apa Dengannya???

باســــم الله الرحمن الرحيم
{سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ}
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
( al-Isra’ : 1 )


Salah satu peristiwa yang menjadi sejarah yang besar kepada umat di dalam sejarah perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w ialah bagaimana, nabi s.a.w telah dijalankan oleh Allah s.w.t dalam satu malam dengan menaiki seekor binatang dari syurga yang dinamakan Bura’ beserta ditemani oleh malaikat Jibril a.s. Telah diceritakan Bura’ ini adalah seekor binatang dari syurga yang berbadan panjang serta berwarna putih. Lalu nabi s.a.w dijalankan dari Mekah (Masjidil Haram) ke Falastien (Masjidil Aqsa) dengan menaikinya kemudian terus naik ke langit untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Dan, pada malam itu juga dipertontonkan kepada nabi s.a.w dengan kebesaran-kebesaran , kisah-kisah, dan juga tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t. Dan ketika di dalam perjalanan tersebut terdapat beberapa peristiwa yang padanya memberikan pengiktibaran kepada kita dan juga terdapat suatu perkara yang wajib kepada kita seluruh umat Islam beriman dan mempercayainya. Ianya adalah sebagaimana yang telah disebut di dalam hadith nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitabnya Sohih Muslim yang telah disyarahkan oleh Imam Muhyiddin An-Nawawi Rahimahullahu ta’ala. Iaitulah, satu peristiwa yang cukup besar dan wajib bagi kita umat Islam untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Ianya, tidak lain dan tidak bukan adalah kefardhuan Solat 5 waktu sehari semalam yang menjadi tiang agama bagi setiap mereka yang beragama Islam.

( Hadith yang teramatlah panjang untuk saya tuliskan di disini akan tetapi sahabat-sahabat bolehlah buka, rujuk dan lihat di dalam kitab yang telah saya sebutkan di atas sebentar tadi. Yang menceritakan bagaimana nabi s.a.w telah naik ke langit bertemu dengan Allah s.w.t untuk menerima satu kefardhuan yang tidak ada pada umat nabi-nabi terdahulu melainkan kepada umat nabi yang menjadi penutup dan pengakhir bagi semua rasul-rasul dan juga nabi-nabi a.s. Diceritakan bagaimana nabi s.a.w naik ke langit yang pertama kemudiannya bertemu dengan nabi Adam a.s. Kemudian nabi s.a.w naik lagi ke langit yang kedua lalu bertemu dengan nabi Isa a.s. Kemudian nabi s.a.w berjalan lagi naik ke langit yang ketiga lalu bertemu dengan nabi Yusuf a.s. Kemudian nabi meneruskan perjalanannya naik ke langit keempat lalu bertemu dengan nabi Idris a.s. Kemudian nabi dan Jibril a.s meneruskan lagi perjalanan naik ke langit yang kelima lalu bertemu dengan nabi Harun a.s. Kemudian nabi s.a.w meneruskan lagi perjalanan naik ke langit yang keenam lalu bertemu dengan nabi Musa a.s. Kemudian nabi s.a.w naik ke langit yang seterusnya yaitu langit yang ketujuh. Yang mana ianya adalah langit yang terakhir sebelum nabi s.a.w naik ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Di situ nabi bertemu dengan nabi Ibrahim a.s. Kemudian nabi s.a.w bertemu dengan Allh s.w.t seterusnya menerima kefardhuan Solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Maka nabi s.a.w turun bertemu dengan Musa a.s. Lalu Musa a.s bertanya kepada nabi s.a.w : “Apa yang difardhukan oleh Allah s.w.t kepada umatmu?”. Nabi s.a.w menjawab : “50 Solat”. Lalu Musa a.s berkata : “Kembali kepada tuhanmu dan minta dikurangkan sesungguhnya umat mu tidak berdaya dengan yang demikian (solat 50 sehari semalam).” Lalu nabi s.a.w naik kembali bertemu dengan Allah s.w.t sehinggalah dikurangkan kepada 5 kali sehari semalam. Lalu nabi s.a.w turun kemudian bertemu dengan nabi Musa a.s semula. Nabi s.a.w berkata : “Diberi kurang kepadaku 5”. Lalu Musa a.s berkata : “Sesungguhnya umatmu tidak berdaya. Maka balik minta kurang dengan Allah s.w.t”. Lalu berlakulah beberapa dialog diantara nabi Musa a.s dan nabi Muhammad s.a.w seketika waktu. Sehingga akhirnya Musa a.s tetap berkata yang umat nabi s.a.w tidak akan mampu menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Akan tetapi nabi s.a.w telah malu ingin berjumpa dengan Allah s.w.t untuk meminta kurang lagi. )
( rujuk Sohih Muslim )


Maka kita lihatlah pada hari ini. Apa yang dikatakan oleh nabi Allah Musa a.s itu ternyata benar dan sungguh memalukan kita selaku umat Muhammad s.a.w. Kerana apa? Apakah kamu tidak merasa malu kepada nabi s.a.w yang sanggup bersusah payah berulang-alik bertemu dengan Allah s.w.t untuk meminta supaya dikurangkan fardhu solat sehingga lima kali sehari semalam? Sehingga kini masih lagi terdapat segelintir kita yang tidak dapat menunaikan kewajipan solat yang telah ditetapkan. Mana kita semua nak letak muka apabila bertemu dengan nabi Allah Musa a.s kelak? Dengan Allah s.w.t lebih lagilah. Maka jawapannya…………………………….

Lu piker la sendiri….!!!

Wallahualam.

No comments: