Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

Monday, October 26, 2009

Turki imbangi hubungan dengan Israel dan dunia Islam

ANALISIS

Hubungan baik Turki dengan Israel, sekutu pentingnya di Asia Barat semakin menunjukkan krisis yang sukar dibaiki ekoran tindakan politik terbaharu Ankara membatalkan penyertaan tentera Israel dalam satu latihan perang tahunan.

Hampir genap setahun selepas protes dramatik Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan terhadap Presiden Israel, Shimon Peres di Davos, Switzerland, berhubung serangan tentera Israel ke atas Gaza, Turki kini berdepan cabaran dalam menguruskan dasar luar baharunya yang pragmatik itu.

Turki yang mengadakan latihan perang Anatolian Eagle sebagai usaha kerjasama pertahanan dengan sekutu seperti Israel dan Amerika Syarikat mengubah format latihan itu dengan menangguhkan bahagian latihan yang melibatkan negara-negara lain, yang secara efektif mengelakkan penglibatan Israel dalam latihan itu.

Selari dengan politik dasar luar serantau Ankara pada masa ini, tindakan itu boleh dilihat sebagai usaha untuk menjarakkan diri daripada Israel, sekutu yang menimbulkan masalah kepada diplomasi Turki dalam kalangan negara-negara Arab dan Muslim di Asia Barat.

Peranan diplomasi ini merupakan strategi Turki untuk muncul sebagai negara berpengaruh di Asia Barat, menyaingi atau mengatasi pengaruh negara seperti Arab Saudi dan Mesir.

Pada masa sama hubungan dengan Israel terjejas, Turki memulihkan hubungannya dengan Syria, negara jiran yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Israel, tetapi cuba berunding dengan negara terbabit dengan Turki berperanan sebagai orang tengah.

Menteri luar Turki yang berpengaruh, Ahmet Davutoglu, menyertai menteri-menteri lain bertemu di Syria dalam mesyuarat pertama Majlis Kerjasama Strategik, badan yang merapatkan hubungan negara-negara terbabit.

Ahmet juga dalam satu sidang media dilapor berkata Turki tidak boleh dilihat mempunyai hubungan ketenteraan dengan Israel pada masa yang sensitif, merujuk kepada tindakan keras Israel di Gaza yang mencetus kemarahan dunia Islam.

Israel melihat hubungan semakin baik Turki dengan Syria sebagai ancaman kepadanya, antaranya ekoran peranan Syria dalam mendukung Hamas dan Hizbullah yang berperang dengan Israel.

Pada masa sama, hubungan lebih baik Ankara dengan Damsyik menunjukkan perubahan besar dalam hubungan kedua-dua negara, yang tegang ekoran dakwaan sokongan Syria kepada pemberontak Kurdis yang berperang dengan Turki.

Selain Israel, peranan diplomasi yang diusahakan Turki juga menjejaskan hubungan baiknya dengan Azerbaijan, negara daripada kalangan rumpun bangsa Turki yang juga rakan penting dalam perdagangan bahan bakar.

Usaha Turki dengan Armenia untuk berunding memulihkan hubungan ditentang oleh Azerbaijan kerana rundingan itu tidak memasukkan sekali rundingan berhubung pertikaian wilayah Azerbaijan-Armenia.

Ekoran usaha Turki dipimpin AKP berbaik dengan Armenia yang antaranya bertujuan memulihkan imej Turki sebagai kuasa diplomasi dan meningkatkan imejnya dalam kalangan negara Barat Azerbaijan mula menunjukkan tentangan dan menyukarkan hubungan Ankara dengan Baku.

Terbaharu, perjanjian perdagangan gas kedua-dua negara mula ditimbulkan, dengan Azerbaijan menimbulkan isu jualan gasnya yang di bawah harga pasaran kepada Turki.

Azerbaijan berharap Turki terus berperanan sebagai sekutu utama dan pelindung, lebih-lebih lagi memandangkan pertikaian wilayah Nagorno-Karabakh melibatkan Azerbaijan dengan Armenia masih jauh daripada penyelesaian.

Wilayah Nagorno-Karabakh yang majoriti penduduknya etnik Armenia secara rasminya ialah sebahagian wilayah Azerbaijan, tetapi terlibat dalam konflik untuk bebas daripada Azerbaijan. Pemberontak Nagorno-Karabakh disokong oleh Armenia.

Israel mengambil kesempatan dalam hal ini dengan meningkatkan hubungan dengan Azerbaijan, walaupun perkembangannya selepas ini bergantung kepada gerakan-gerakan Turki dalam memulihkan hubungan dengan Azerbaijan melalui imbangan yang juga melibatkan Armenia.

Pada masa tindakan Recep terhadap Peres di Davos, tindakan itu lebih kepada simbol untuk digunakan dalam politik domestik dan mengendalikan dasar luar baharu yang meletakkan peranan Turki sebagai broker keamanan serantau.

Tetapi pada masa ini, Turki kelihatan perlu menyamai retorik itu dengan tindakan sebenar, yang mungkin lebih daripada sekadar menghalang penglibatan Israel dalam satu latihan perang.

Walau bagaimanapun, menurut satu laporan akhbar Turki, tujuan utama penolakan penglibatan Israel dalam latihan itu ialah kelewatan penghantaran pesawat tanpa juruterbang yang dibeli Turki daripada Israel.

Turki memerlukan pesawat tersebut dalam operasi ketenteraan, yang pada masa ini kelihatan sasarannya ialah gerila Kurdis di sempadannya dengan Iraq.

Turki dan Israel menandatangani perjanjian jualan 10 UAV bernilai lebih AS$180 juta dari sebuah syarikat Israel, dan dilaporkan syarikat itu gagal membuat penghataran pada masa ditetapkan.

Apapun punca tindakan Ankara dalam latihan perang itu, apa yang tercetus menepati permainan dasar luarnya yang memerlukan imej lebih baik dalam kalangan negara-negara Arab dan Muslim Asia Barat.

Turki di bawah AKP bersikap pragmatik dan peka dengan suara rakyat negara itu dalam melaksanakan dasar luarnya yang memberi implikasi kepada politik dalaman, iaitu populariti AKP.

Tindakan Recep di Davos disambut sebagai satu tindakan wira dan populariti AKP meningkat ekoran peristiwa itu.

Ankara pernah menghalang tentera AS daripada menggunakan pangkalan udaranya untuk operasi menyerang Iraq sebagai respons kepada suara rakyatnya.

Dalam usahanya menjadi kuasa diplomasi Asia Barat pada masa ini, Ankara memerlukan segala yang boleh digunakan untuk mencapai imej yang berwibawa, dan tindakan terhadap Israel ini mampu memberikan persepsi ini.

Walau bagaimanapun, pada masa sama, tindakan meminggirkan Israel ini sekiranya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh bakal menjejaskan penerimaan sekutu Barat Turki, yang sokongannya diperlukan untuk keanggotaan Kesatuan Eropah dan hubungan penting lain dengan Barat.

Berdasarkan hubungan kompleks Turki dengan Israel dan sekutu-sekutu Baratnya, sukar untuk melihat Turki bertindak lebih jauh lagi dan menyamai retoriknya dengan tindakan yang jelas.


* Petikan dari keratan akhbar tempatan

Thursday, September 3, 2009

Konflik Berpanjangan Di Bulan Mulia..

Konflik di Yaman yang menyaksikan pertempuran terbaharu kerajaan negara Arab itu dengan kumpulan pemberontak di utara kelihatan tidak mudah untuk diselesaikan dalam masa terdekat ini, apabila kerajaan Yaman pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dan pemberontak Houthi pimpinan Abdul Malik al-Houthi gagal mencapai persetujuan untuk berdamai.
Iklan
Kerajaan Ali Abdullah menolak syarat perdamaian kumpulan Houthi yang mahukan kuasa yang lebih di wilayah mereka, mendorong kumpulan Houthi mengeluarkan amaran �perang yang berpanjangan� akibat penolakan peluang perdamaian itu.
Ali Abdullah kini berdepan usaha sukar menangani konflik dalaman dan mengimbangi hubungan baik dengan AS dan menjaga hubungan dengan Arab Saudi dan pada masa sama mengawal usaha Saudi untuk mendominasi.
Tiga kumpulan sekaligus terlibat dalam konflik dengan kerajaan Yaman, konflik yang semakin meningkat dan menarik perhatian dunia sejak beberapa bulan lalu. Di sebelah selatan, pemberontak pemisah menjadikan suasana tegang, memperlihatkan sentimen anti-penyatuan lama selepas Yaman Utara dan Selatan bersatu.
Pada masa sama, Yaman yang menjadi sekutu Amerika Syarikat dalam �perang menentang terorisme� juga mengawasi pengaruh al-Qaeda yang dilihat mengambil kesempatan daripada kekacauan untuk menjadikan negara bersempadan Laut Merah dan Teluk Aden itu sebagai pusat aktiviti mereka.
Konflik paling hebat melibatkan kerajaan Ali Abdullah (gambar)dengan kumpulan Syiah Zaidiyah di utara, menyaksikan pertempuran yang meningkat ketika Muslim seluruh dunia menyambut kehadiran bulan mulia Ramadhan.
Pertempuran ini ialah yang keenam dan terbaharu sejak kempen terhadap Houthi bermula pada 2004.
Menurut laporan media Yaman, sekitar 5,000 orang telah terkorban dan 200,000 menjadi pelarian akibat konflik kerajaan Yaman dengan pemberontak Houthi yang kubu kuatnya terletak di Saada, utara negara itu.
Konflik melibatkan kumpulan Syiah Zaidiyah mempunyai sejarah yang panjang dan dimensi dalaman dan serantau. Kumpulan Syiah Zaidiyah menyimpan rasa kesal sejak kejatuhan kepimpinan panjang mereka di Yaman pada 1962, kejatuhan yang menjadikan mereka terpinggir.
Dua kuasa serantau, Arab Saudi dan Iran dinilai pemerhati terlibat dalam konflik ini dan menjadikan kedua-dua pihak bertentangan sebagai proksi untuk mengukuhkan pengaruh mereka.
Hal ini tidak mengejutkan memandangkan persaingan berzaman kedua-dua negara yang berpegang pada beraliran Islam yang bertentangan. Kedua-dua negara telah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap situasi Yaman sejak konflik terbaharu tercetus.
Saudi telah menunjukkan rasa kurang senang dengan laporan media Iran dan menuduh Iran membantu kumpulan Syiah Zaidiyah, manakala Iran menuduh Arab Saudi membantu tentera Yaman.
Arab Saudi didakwa memberi sokongan kepada beberapa kumpulan di Yaman untuk meluaskan dan mengukuhkan pengaruhnya yang mula tertanam sejak memberi bantuan kepada kerajaan Yaman menghadapi perang saudara dengan kumpulan selatan pada 1994.
Iran pula dipercayai memberi sokongan kepada kumpulan Syiah Zaidiyah di utara walaupun mereka daripada aliran Syiah yang berbeza. Sokongan ini mampu memberikannya pengaruh di kawasan-kawasan penting di rantau Asia Barat dan pada masa sama mempunyai proksi untuk mengimbangi pengaruh Arab Saudi, seperti dilakukan di wilayah timur Arab Saudi.
Yaman dalam hal ini tidak mendapat banyak manfaat, malah konflik dihadapi ini, menurut pemerhati, hampir menjerumuskannya menjadi sebuah negara yang gagal seperti Somalia, negara jirannya di seberang Teluk Aden.
Yaman sedang menyaksikan sumber hidro karbon semulajadinya semakin berkurangan dan pada masa sama juga berdepan risiko kekurangan sumber air. Konflik bersenjata hanya akan menjadikan keadaan lebih parah.
Arab Saudi berkepentingan untuk melihat kumpulan Houthi tidak berpengaruh, antaranya disebabkan kedudukannya bersempadan dengan wilayah Najran di sempadan Arab Saudi-Yaman. Najran dan sebuah lagi wilayah, Asir, ditakluk Arab Saudi ekoran konflik kedua-dua negara yang berakhir pada 1934.
Najran yang mempunyai jumlah penduduk Syiah Ismailiyah yang agak besar pernah menyaksikan konflik minoriti Syiah dengan pasukan keselamatan Arab Saudi. Dasar Arab Saudi terhadap Yaman dilihat memberi kesan kepada pengikut Syiah terbabit, yang berkongsi sentimen dengan penduduk Syiah Zaidiyah di Yaman.
Kumpulan-kumpulan Syiah berbeza aliran terbabit berkongsi sentimen yang hampir sama terhadap Arab Saudi, yang mempunyai rekod buruk berhubung minoriti Syiah di negara itu, terutama golongan majoriti kalangan mereka, Ismailiyah.
Walaupun sokongan Iran lebih kuat dilihat di wilayah timur Arab Saudi, Syiah Zaidiyah Yaman juga dikatakan mula lebih rapat dengan Tehran ekoran tekanan yang dikenakan, termasuk pengaruh Saudi yang semakin kuat di Yaman.
Kumpulan Syiah Yaman dikatakan telah membina hubungan baik dengan Tehran dan juga Hizbullah di Lubnan dalam usaha berdepan tekanan. Sentimen kebangkitan Syiah seluruh Asia Barat kebelakangan ini mampu menyumbang kepada kerjasama itu.
Yaman mempunyai hubungan sukar dengan jirannya di utara itu. Menjelang Perang Teluk pertama pada awal 1990-an, Yaman dihukum keras Saudi dan sekutu Baratnya kerana tidak menyokong agenda menyerang Iraq.
Sempadan Arab Saudi dengan Yaman pula sentiasa tegang, dengan beberapa pertempuran kecil pernah berlaku melibatkan kedua-dua negara. Prospek untuk konflik lebih besar berlaku sentiasa wujud, dan ini membuka peluang kepada Iran untuk membina pengaruh, mendedahkan rantau Asia Barat dan dunia Muslim kepada satu lagi kemungkinan konflik berdarah yang berpanjangan.

p/s : sumber di ambil dari keratan akhbar tempatan.