Wednesday, October 16, 2013

Erti Sebuah Pengorbanan Dalam Pensyariatan

Apabila pengorbanan telah mencapai tahap yang ditetapkan
Maka turunlah pertolongan dan kemenangan
Ingatlah akan Ibrahim dan Ismail a.s disaat mengerjakan suruhan
Walau tidak diterima akal dan fikiran.

Suruhan dijalan demi Tuhan
Bukti keimanan dan keislaman
Allah turunkan binatang sebagai gantian
Menjadi syariat di akhir zaman.

Terkadang sesuatu diluar jangkaan dan kebiasaan
Itulah dia suruhan ketaatan
Bagi menguji keikhlasan dan pengorbanan.

Jangan merasa hebat dengan akal dan fikiran
Jika tawakal dan keimanan tiada kekentalan
Lihatlah Hajar si ibu Ismail a.s 
Ikuti suruhan walau tidak tertahan.

Ditinggal keseorangan melayari kehidupan
Dengan si anak yang masih kemerah-merahan
Berlari-lari anak mencari sesuap makanan
Bermandi peluh tidak dihiraukan.

Disaat diri lelah berkejaran
Harapan dan pertolongan diserah Tuhan
Muncul lah air menjadi santapan
Itulah bukti sebuah pengorbanan
Dirakam kisah dalam Al-quran.

Usah dikata pejuang harapan
Jika diri tiada terkorban
Usah menagih simpati dan tangisan
Teruskan perjuangan tingkatkan pengorbanan.

Eidul Adha Mubarak 1434

Friday, August 31, 2012

Kemerdekaan : Dari Tuhan untuk Insan


Merdeka..

Ramai yang menyambutnya tiap tahun tiap masa
Tak kira cina, Melayu atau India
Semuanya gembira setelah berduka lama
Masa diraya kini menjelma

Merdeka..

Jangan dicemar jangan dinoda
Mungkar berleluasa maksiat berpesta
Tuhan memberi tidak mengira
Bangsa, keturunan mahupun warna

Merdeka..

Bangsa, keturunan mahupun warna
Ianya tidak memberi makna
Jika adil saksama terus dilupa
Agama kita terus dihina

Merdeka..

Usah dileka usah dialpa
Nikmat di dunia hanya sementara
Jika tidak mengikut agama
Esok lusa tiada guna

Merdeka..

Teruslah dengan hasrat dan cita
Harus waspada dosa dan pahala
Islam berdaulat memacu negara
InsyaAllah, dunia selamat akhirat sejahtera

Salam Merdeka Untuk Semua

Saturday, July 21, 2012

Salam Ramadhan Al-Mubarak - 1433 H


Firman Allah SWT yang bermaksud :


"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa"


(al-Baqarah : 183)


Ibadah puasa adalah merupakan salah satu dari rukun Islam yang wajib kita percaya dan beramal. Puasa adalah suatu ibadah yang telah diwajibkan oleh Allah SWT kepada umat yang terdahulu daripada kita. Mungkin caranya agak berbeza dan berlainan daripada cara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Namun tujuannya tidak lain dan bukan adalah supaya kita menjadi orang-orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Saidina Ali RA pernah berkata dalam memberi penaksiran berhubung dengan pengertian 'taqwa' itu sendiri, katanya taqwa itu ialah :


1- Takutkan Allah SWT
2- Beramal dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT
3- Merasa cukup dengan kurniaan Allah SWT walaupun sedikit
4- Sentiasa bersedia untuk Hari Akhirat


Justeru itu saya mengajak dan mengharapkan kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi supaya kita mengambil peluang di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat ini, agar sama-sama kita meningkatkan amalan kita ketahap yang semaksima mungkin bagi mencapai tujuan dan matlamat sebenar ibadah puasa itu difardhukan. Semoga kita tidak menjadi golongan yang hanya menjadi hamba kepada bulan Ramadhan yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata dan tidak mendapat apa-apa ganjaran dan hikmah yang terdapat di dalam bulan tersebut.


Akhirnya saya mengharapkan agar ibadah puasa kita pada kali ini benar-benar dapat membentuk jiwa dan jasad kita agar terus dapat memartabatkan Islam sehingga kita dijemput bertemu dengan Allah SWT. Semoga ibadah puasa ini akan menjadi saham kita di akhirat kelak dan mendapat ganjaran pahala yang tinggi di sisi Allah SWT.


Selamat Berpuasa dan Selamat Beribadah..

Saturday, January 14, 2012

Lembaran Iman&Hikmah Part I

Hujan renyai-renyai yang turun di awal subuh menyinsing di pagi hari ini terasa amat sejuk. Teringat daku akan waktu ketika berada di bumi Iman & Hikmah tidak lama dahulu. Ketika manusia sedang dibuai mimpi yang indah. Ku melangkah bersama-sama sahabat yang lain di tengah-tengah kesejukan yang menusuk sehingga ke tulang demi mencari secebis azimat untuk dijadikan bekalan yang tak seberapa untuk terus berkelana di alam yang penuh dengan pancaroba ini.

Kenangan menahan misywar (teksi) dalam keadaan menggigil seolah-seolah kembali bermain di benak fikiran ku ini. Terkadang menaiki lori apabila ketiadaan misywar atau bas. Seronok, puas, gembira dan yang sama waktu dengannya hanya dapat ku gambarkan walaupun terpaksa menaiki lori. Riak girang tidak terkira tatkala melihat kelibat guruku yang baru mengenakan sepatu seusai bersembahyang Subuh di masjid dan terus melangkah menuju ke rumahnya.

Manakan tidak. Bersusah-payah untuk menahan dan berjalan di pagi hari dengan ditemani kesejukan angin sepoi-sepoi meniup masuk hingga ke tulang seakan-akan ditusuk sembilu pilu hanya demi secebis ilmu akhirnya terubat apabila dapat sampai dan bertemu dengan guru yang sedang menanti di singgah-sananya yang tersergam indah di sebelahan bukit yang terpaksa ku dakiinya untuk sampai.

Memberi salam lantas bertanya kepada syeikh. هل ممكن نقرأ هذا الكتاب يا شيخ؟. Syeikh pun diam buat seketika waktu. Mungkin di fikirannya sedang meneliti jadual hariannya. Setelah itu syeikh berkata. أيواه..بكرة بعد الفجر مباشرة . Mendengar jawapan yang terkeluar dari mulut sang murabbi tersebut. Suasana dingin ketika itu seolah-olah terasa panas dan suam. Gembira tak terkata tatkala syeikh mengungkapkan kata memberi kebenaran untuk mengajarkan ku dan sahabat yang hadir ketika itu.

Bersambung..

Tuesday, December 6, 2011

Ada Apa Dengan Muharam

Hijrah Nabi SAW

لا هجرة بعد الفتح ولكن جهاد ونية....

Maksudnya : Tidak ada Hijrah selepas pembukaan (Mekah), akan tetapi adanya jihad dan niat….

(HR : Bukhari & Muslim)

Diantara bulan-bulan yang diharamkan padanya berperang

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلاَ تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.

(at-Taubah : 36)

Disunatkan Berpuasa

أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله المحرم، وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل

Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan ialah (bulan Allah) Muharram, dan sebaik-baik sembahyang selepas fardhu ialah sembahyang malam.

(HR : Muslim)

Puasa Hari Asyura

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.

(HR : Muslim)

Diantara peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram

  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dai perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulitnya
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar

Saturday, November 26, 2011

Salam Ma'al Hijrah 1433

Assalamualaikum w.b.t..

Bersempena dengan kedatangan tahun baru Hijrah 1433, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran yang terkandung di dalam peristiwa Hijrah yang telah berlaku kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda. Hasil dari pengorbanan baginda dan para sahabat maka, pada hari ini kita dapat mengecapi berbagai nikmat yang tidak dapat dirasai dan diperolehi oleh umat-umat yang lain. Antara lain nikmat yang paling besar yang tidak dapat dihitung oleh jari-jemari kita ialah nikmat Iman dan Islam. Pada hari ini kita diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t dengan agama Islam yang kita anuti sebagaimana kata Saidina Umar al-Khattab r.a :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله

Kita adalah satu kaum yang diberi kemuliaan dan kehebatan oleh Allah dengan Islam, maka jika sekiranya kita mencari kemuliaan dan kehebatan selain dari Islam nescaya kita akan mendapat kehinaan dan kemurkaan daripada Allah.

Kehinaan dan kemurkaan di sini ialah sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Kita akan ditimpakan oleh Allah s.w.t dengan kehidupan yang tidak sempurna jika kita mengguna pakai acuan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Justeru itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan melihat kembali sejauh mana kita berpegang dengan ajaran Islam yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Adakah kita telah mengikut segala apa yang telah diwahyukan oleh Allah kepada RasulNya s.a.w ataupun kita telah melanggarinya. Jangan kita menjadi manusia yang diperdaya oleh syaitan laknatullah yang sentiasa ingin menyesatkan umat manusia dengan mengikut telunjuknya yang sesat lagi menyesatkan. Firman Allah s.w.t :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya. Dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

(Surah al-Baqarah : 208)

Dengan kita mengikut ajaran Islam yang sebenar sahajalah yang akan membawa kita bahagia di dunia dan bergembira di hari akhirat kelak.

Wallahu a’lam.

Wednesday, September 7, 2011

Moga-moga kamu bertaqwa..

Bismillahir Rahmanir Rahim..

Alhamdulillah, puji dan syukur dengan rahmat dan kasihan belas dari yang Maha Esa kita masih lagi diberikan kesempatan dan peluang untuk menikmati kehidupan yang fana ini. Baru-baru ini umat Islam seluruhnya telah meraikan hari Raya Enam dengan bermacam-macam cara dan gaya yang sememangnya tidak ada dalam nas dan hadis. Akan tetapi ianya masih lagi diamalkan oleh sesetengah masyarakat disebabkan ianya telah diamalkan oleh orang-orang yang terdahulu dari mereka turun-temurun. Persoalannya, mengapa perkara sebegini masih lagi berlaku?.. Adakah kerna tidak mempunyai ilmu dan sebagainya?.. Tepuk dada tanya Iman. Namun, kita bukan hendak berbicara soal itu pada kali ini. Akan tetapi kita ingin menanyakan di sini adakah sebulan di bulan Ramadhan kita telah benar-benar berjaya menjadi seorang muslim yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t.. Atau kita hanya menjadi hamba kepada Ramadhan sebagaimana yang Nabi s.a.w telah sebut :

كــم مــن صائم ليس لــه مــن صيامــه الا الجـــوع والعــطش
"Berapa ramai yang berpuasa tidak ada baginya dari puasa yang dilakukannya melainkan lapar dan dahaga"

Jelaslah di sini Nabi s.a.w telah memberi amaran dan peringatan kepada kita bahawa berapa ramai orang Islam yang berpuasa akan tetapi puasa tersebut seperti habuk-habuk yang berterbangan di udara dan yang mereka dapat hanyalah lapar dan dahaga semata. Ketaqwaan yang menjadi tujuan utama kepada perlaksanaan ibadah puasa itu sendiri entah kemana namun, nikmat kekenyangan dan keseronokan berpuasa mengikut trend yang mereka kecapi. Taqwa yang mana dinyatakan oleh Abu Hurairah di dalam riwayatnya telah menceritakan tatkala seorang pemuda telah bertanya kepada beliau :

Lalu pemuda itu berkata : Apa itu Taqwa? Lantas Abu Hurairah bertanya kembali kepada si pemuda : Adakah kamu pernah berjalan di tempat yang berduri? Berkata pemuda tersebut : Ya. Kemudian Abu Hurairah bertanya lagi : Bagaimanakah kamu berjalan mengharunginya? Lalu pemuda itu berkata : Jika aku melihat duri aku akan mengelak daripadanya atau aku akan langkah atau aku akan berundur. Lalu Abu Hurairah berkata : Yang demikian itulah taqwa.

Yang dimaksudkan dengan jawapan pemuda tersebut dari pertanyaan yang dilemparkan oleh Abu Hurairah ialah berhati-berhati. Duri itu ialah ibarat perkara-perkara yang dimurka oleh Allah s.w.t dan hati-hati itu pula ialah Taqwa. Maka, jika seseorang itu ingin mencari ketaqwaan yang sebenar hendaklah dia berhati-hati dalam melakukan apa yang telah dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya dan meninggalkan segala larangannya.

Saidina Ali r.a dalam mentafsirkan makna Taqwa beliau ada menyatakan :

الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل
Takut kepada yang Maha Agung, beramal dengan apa yang diturunkan, mencukupi dengan yang sedikit, dan bersedia untuk hari akhirat.

Puasa dalam erti kata lain merupakan tarbiyah langsung daripada Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya yang benar-benar beriman dan mengharapkan keredhaan daripadaNya. Justeru itu tidak hairanlah ada yang masih melakukan perkara-perkara yang dimurka oleh Allah s.w.t walaupun telah keluar daripada tarbiyah tersebut. Kerna tarbiyah ini hanyalah kepada yang benar-benar beriman sahaja. Yang benar-benar mengharapkan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah s.w.t yang disebut dalam Surah Al-baqarah ayat-21 :

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
...moga-moga kamu tergolong dikalangan orang yang bertaqwa

Adapun mereka yang tidak benar-benar beriman dengan keimanan yang sebenar maka, akan terlihatlah oleh mata kasar kita akan orang-orang yang hanya menjadi hamba kepada puasa semata-mata bukannya hamba kepada Allah s.w.t. Justeru itu tidak hairanlah jika ada yang berpuasa akan tetapi aurat masih ditayang, sembahyang masih entah kemana, maksiat terus-menerus berleluasa terang-terangan tanpa kawalan, dan lain-lain lagi yang tersembunyi mahupun yang terlihat. Dengan itu marilah sama-sama kita menghayati hadith yang telah dinyatakan di atas. Adakah kita dikalangan orang-orang yang hanya mendapat habuan dunia semata-mata akibat berlapar dan berhausan? Ataupun kita mendapat sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w :

للصــائم فرحتان يفرحهما إذا أفطر فرح وإذا لقي ربه فرح بصومه
...bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan : Apabila dia berbuka,dia bergembira. Dan apabila dia bertemu dengan tuhannya, dia gembira dengan puasanya.
HR : Bukhari

Maka, adakah kita telah dapat mencapai nilai taqwa yang sebenar-benarnya sepertimana yang telah dinyatakan?

Wallahu a'lam..

Tuesday, August 2, 2011

Teraweh oh Teraweh..!!



Antara lain kelebihan dan keunikan yang berada di bulan Ramadhan yang mulia ini adalah. Kita dikurniakan oleh AlLah pada malamnya untuk bersembahyang Teraweh. Unik tak uniknya sembahyang Teraweh ini, ianya tidak ada di bulan lain. Mengapa..?? Sedangkan kita mengetahui bahawa sesungguhnya sembayang sunat ini tidak terbatas waktu dan tempatnya. Maka jawapannya, inilah keunikan Ramadhan. Bulan-bulan lain contohnya kalau ada orang sembahyang Teraweh itu pelik namanya. Misal kata sewaktu kita tengah berjalan.. Tiba-tiba terserempak dengan kawan kita lalu menegurnya.

" Amboii..lajunyer jalan..nak ke maner tueeee...?? ". Lalu jika dia menjawab, " Sembahyang Teraweh ler..". Maka dua kemungkinan sahaja yang akan berlaku. Samada baru balik Tanjung Rambutan atau baru nak pergi ke Tanjung Rambutan. Hehehe..

WalLahu a'lam.